DEB JADI MANGSA POLITIKUS

Jangan pisahkan 13 Mei dan DEB

 

JIKA tidak berlaku kekacauan berdarah 13 Mei 1969, hubungan antara etnik di negara ini bukan sahaja setiap masa berada seperti telor di hujung tanduk, keadaan politik dan ekonomi juga berada dalam keadaan yang sentiasa terdedah ancaman dalaman dan luaran. 

 Lalu, formula perpaduan menjadi asas kepada status-quo seperti yang dialami sekarang.  Ekoran peristiwa 13 Mei juga berlaku satu revolusi ekonomi Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak bernama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat bagi mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum.   Ini menjadi kepercayaan bukan sahaja kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tetapi juga kepada setiap Perdana Menteri, baik Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pemerintahannya tetapi juga kepada Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Setiap tahun perkara ini diperingatkan kepada rakyat betapa perpaduanlah sahaja senjata yang memungkinkan negara ini terus bergerak ke hadapan, dan setiap rakyat tidak kira agama atau kaum akan terus mengecapi nikmat kemakmuran negara. Bagaimanapun, pada 13 Mei lalu bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Selangor sebuah buku bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 (13 Mei: Dokumen Terbuka mengenai Rusuhan 1969) tulisan bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Kua Kia Soongs, dilancarkan. Buku itu menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosio-ekonomi kaum di negara ini, sebaliknya Dr Kua mengemukakan tesis baru: ‘Kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama rusuhan.’ Dr Syed Husin Ali, bekas sosiologis Universiti Malaya yang kini bergerak sebagai pembangkang kerajaan, ketika pelancaran buku berkenaan turut menolak tesis Dr Kua,  walaupun Dr Kua selalu muncul dalam kumpulan yang berpihak kepada pembangkang seperti Suaram (Suara Rakyat Malaysia), Dong Jia Zhong (Persatuan Pendidik Cina), Suqiu (Tuntutan Pilihan Raya 1999) dan penentang utama Sekolah Wawasan.  Nampaknya Dr Syed Husin, dalam isu ini, masih lagi mengekalkan kesarjanaannya.  Yang benar tetap dinyatakan benar, yang salah dinyatakan salah. Walau sukar untuk mencari motif sebenar Dr Kua membangkitkan sejarah luka berdarah berkenaan, namun tren semasa menunjukkan ada usaha untuk menidakkan DEB dan dasar kerajaan selain menyembur racun terhadap kepercayaan rakyat kepada kerajaan semasa. Sebelum ini asas formula perpaduan ini dicabar bekas Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam ASLI, Dr Lim Teck Ghee yang melalui `kajiannya’ mendapati bumiputera telah mencapai 45 peratus ekuiti, sedangkan kerajaan menyatakan sasaran DEB pada penghujung 1990 hanyalah sekitar 18 peratus, sedangkan sasaran dasar berkenaan ialah 30 peratus.  Tidak sedikit orang Melayu juga terpengaruh supaya DEB atau dasar seumpamanya dimansuhkan, demi memenuhi kehendak orang seperti Dr Kua, Dr Lim dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang. Jika Kit Siang melancarkan propaganda  DEB memperkayakan sesetengah orang Melayu, Dr Lim menyatakan DEB sudah melebihi 30 peratus dan Dr Kua mempertikaikan punca utama sejarah berdarah 13 Mei kerana usaha menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan bukan kerana kebiadapan pembangkang waktu itu, terpancar keselarian di antara mereka: DEB atau Dasar Pembangunan Nasional perlu dimansuhkan segera.  Sudah ada orang Melayu menyanyi lagu sama dengan Dr Kua, Dr Lim dan Kit Siang,  kononnya DEB hanya memperkayakan sebahagian elit Melayu, sedangkan tidak ada data konkrit mengenai hal ini.  Anehnya orang Melayu yang menolak DEB yang menyatakan memperkayakan sesetengah Melayu adalah diri mereka sendiri!  Sesetengahnya memberikan `pink form’ percuma, untuk memperkayakan orang tertentu. Data semasa yang ada, pendapatan perkapital bulanan Bumiputera ialah RM2,500, India RM 3,200 dan Cina RM4,100. Selain bukti di hadapan mata, data semasa juga menunjukkan bangunan komersial dan premis perniagaan bagi bumipitera ialah 11.7 peratus, Cina 71.9 peratus dan India 4.6 peratus. Ini menunjukkan DEB jauh daripada memuaskan bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada semua kaum kerana tidak mungkin perpaduan tercapai kecuali berlaku keseimbangan di antara kaum, atau jurang perbezaan itu wajib dikecilkan. Dr Kua juga menyatakan 13 Mei sebagai ‘hantu’ yang digunakan kerajaan untuk menakutkan rakyat, jika berlaku sesuatu yang tidak menyebelahi kerajaan, seperti mengalamai masalah seperti tahun 1969. Walaupun  kenyataan Dr Kua itu secara sepintas lalu nampak seperti ada kebenaran, tetapi pengkaji hubungan etnik di Malaysia seperti Profesor Madya Dr Mansor Mohd Nor dari Universiti Utara Malaysia berpendapat, asas kepada berlaku ‘rusuhan’ selalunya perbezaan ekonomi antara etnik dalam sesebuah masyarakat. Dalam kajian beliau bersama rakan-rakannya ekoran konflik di antara kaum Melayu dan India di Kampung Medan pada 7 Mac 2001,  Dr Mansor tidak menafikan punca asas ialah salah faham dan salah tafsiran mengenai satu kemalangan di Kampung Medan dan kemudiannya ketegangan akibat kes kenduri.   Bagaimanapun, penelitian mendalam mendapati kes Kampung Medan berpunca daripada masyarakat India dan Melayu dihimpit kemiskinan, walaupun dikelilingi lautan kemajuan.  Ini kerana, katanya, orang yang miskin, menganggur dan terpinggir memiliki ‘disposition towards conflics and violence’ (keinginan semula jadi terhadap konflik dan keganasan). Prinsip yang sama berlaku pada 1969 iaitu kedudukan ekonomi (sumber yang membolehkan setiap orang makan dan menikmati kehidupan) tidak seimbang, maka konflik berlaku, walaupun secara sepintas lalu kelihatan keputusan pilihan raya pada 10 Mei itu menjadi belerang yang membakar api persengketaan. Menurut Dr Mansor yang kini menjadi Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar di Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang UUM, keadaan sosio-ekonomi merupakan penyebab utuma rusuhan di mana-mana negara, termasuk di Paris pada 2005 dan di negara ini pada 1969. Apakah Dr Kua tidak melihat data-data ekonomi pada tahun 1970? Heng Pek Koon dalam satu tulisan bertajuk The new Economic Policy and the Chinese Community in Peninsula Malaysia dalam journal The Developing Economies, (September 1999, m.s 262–92 memaparkan dengan jelas data-data yang mencetuskan konflik berdarah berkenaan:   Pada tahun 1970, perbezaan pendapatan di antara Melayu dan bukan Melayu begitu ketara sekali.  Orang Melayu membentuk majoriti golongan miskin, iaitu sekitar 74 peratus di Semenjung Malaysia.  Populasi Melayu dikawasan luar bandar 63.4 peratus berbanding kaum Cina 26.1 peratus, sementara kaum Cina membentuk majoriti populasi di kawasan bandar 58.7 peratus berbanding dengan Melayu 27.4 peratus. Pendapatan purata orang Melayu ialah RM178.7, berbanding dengan Cina RM387.4.  Ekuiti korporat Melayu pula hanyalah 2.4 peratus, berbanding Cina 34.4 peratus. Menariknya, waktu itu ekuiti korporat negara ini dikuasai oleh orang luar, khususnya British, iaitu kira-kira 63.3 peratus.   Tentunya British ingin menjaga kepentingannya di sini, tetapi Dr Kua telah memilih untuk mendapatkan data daripada orang British di pejabat dokuman awam di London, untuk membenarkan tesisnya, bahawa kekacauan 13 Mei berpunca daripada usaha untuk merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman. Elok Dr Kua mengajak rakan-rakan di Kolej New Era, Kajang dan di Dong Jia Zhong untuk bersama-sama mencari kaedah untuk memupuk rasa muhibah, khususnya di kalangan kanak-kanak di negara ini, melalui sekolah kebangsaan atau kaedah-kaedah lain yang diamalkan oleh negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Rata-rata rakyat negara ini mempercayai perpaduan merupakan aset penting yang membawa kejayaan negara sehingga hari ini, dan Akta Hasutan seharusnya menjadi benteng untuk memastikan perpaduan di negara ini terus berkekalan.   Sesungguhnya, perpaduan tidak akan tercapai melainkan berlaku rasa kasih sayang di antara kaum dan tidak ada satu-satu kaum yang membolot kekayaan negara, kerana seperti kata seorang guru, kita meminjam negara ini daripada generasi akan datang.   Justeru, usaha memupuk perpaduan melalui kesaksamaan seperti DEB perlu diteruskan untuk memastikan semua anak-anak bangsa di negara ini dapat menikmati kehidupan secara relatif bahagia. 

Published in: on June 11, 2007 at 4:23 am  Comments (42)  

Kaitan masyarakat madani dengan CIA

APABILA sesungut patah, kaitan sesuatu dengan sesuatu gagal dihubungkan.  Banyak fenomena sukar dihuraikan.  Minda masyarakat menjadi keliru.  Cahaya menyuluh kegelapan kekeliruan semakin malap.  Dalam keadaan inilah, peniat jahat boleh menggunakan pendekatan untuk kepentingan diri atau organisasinya.

        Dasar pertahanan negara maju, khususnya Amerika Syarikat, menggunakan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bagi menjayakan misinya menggunakan kesempatan kekeliruan minda masyarakat.  Dalam artikel ini, akan dikhususnya bagaimana CIA menggunakan konsep `masyarakat madani’ atau civil society untuk menyuntik jarumnya di beberapa buah negara.

       Di Cuba, menurut Philip Agee yang merupakan mantan pegawai CIA, penggunaan pendekatan teroris untuk menjatuhkan negara berkenaan, gagal.  Pendekatan sekatan ekonomi juga tidak berjaya.  Kini, tulisnya dalam artikel bertajuk The Instrument of US Policy in Cuba: Terorism and Civil Society,  Cuba telah dimasukkan dalam program baru dunia yang dibiaya US untuk membangunkan kumpulan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) atau organisasi sukarela yang dikenali sebagai masyarakat madani.  Menurutnya, pendekatan cara itu bukan baru.  CIA yang dibangunkan sejak 1947 secara rahsia telah membiayai banyak NGO, parti politik, kesatuan sekerja, persatuan perniagaan, pertubuhan belia dan pelajar, profesional, inteklektual dan media bagi menyempurnakan kehendak CIA.

      Pendekatan CIA sangat halus, subtle.  Ianya seperti menggunakan benang ungu halus untuk membentuk pakaian cantik berwarna ungu, sehingga orang tidak melihat benang ungu itu lagi, tetapi hanya melihat baju ungu.

     Siapakah rakyat dalam sesebuah negara yang berani menentang kumpulan yang mahu mewujudkan masyarakat madani atau masyarakat bertamadun?

     Penentangnya seperti orang yang tidak mahu kepada pembentukan masyarakat tertib.  Konsep kabur seperti masyarakat madani itu digunakan.  Begitulah juga pendekatan untuk kononnya mempromosi demokrasi kepada dunia.  Desakan kepada mengadakan pilihan raya bebas.  Parti memperjuangkan keadilan sosial. 

      Profesor Sosiologi di UC-Santa Barbara, William Robinson yang mengkaji mengenai dasar US dalam ‘promosi demokrasi’ ke negara lain terutama di Sandista Nicaragua dan Vanezuala mendapati, US tidak berhasrat menjadikan negara berkenaan itu demokrasi, tetapi merupakan senjata penjajahan atau imperealisme.

     Pelaksana di peringkat akar umbi kepada perjuangan itu juga kebanyakan tidak tahu menahu mengenai kaitan ini.  Mereka seronok menjayakan konsep berkenaan.  Mereka dalam kegilaan untuk merealisasi konsep.  Sedangkan, konsep ideal itu mustahil direalisasikan secara sempurna dalam mana-mana negarapun.

     Jika dibandingkan dasar luar negara Malaysia dengan US dalam bidang hak asasi, tentu  semua maklum pencabulan dan pembunuhan rakyat dan bayi tak berdosa di tangan askar US berlaku secara berleluasa.  Namun, NGO atau pertubuhan tajaan mereka di negara lain seolah-olah lebih maksum, berbanding dengan mereka.

      CIA juga tidak naif untuk menyalurkan wang secara terus dan terbuka kepada badan-badan NGO atau pertubuhan tajaannya.  Bagaimana mereka melakukan?

       Mereka menggunakan pihak ketiga.  Dalam kes Cuba seperti ditulis Philip Agee, US atau CIA menggunakan pihak ketiga seperti Agency for International Development (AID) dan the National Endowment for Democracy (AID) untuk menyalurkan duit kepada pertubuhan berkenaan.

      Dalam menyuntik jarum CIA di negara Islam, CIA tidaklah jahil dalam menyumbang dana mereka kepada badan-badan penentang kerajaan secara langsung.  Mereka menyalurkan wang berkenaan kepada negara Islam kaya terlebih dahulu.  Oleh itu, penerima wang berkenaan menyatakan negara Islam membantu mereka. 

       Justeru, tidaklah pelik untuk melihat banyak aktivis pembangkang di negara Islam yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan, tetapi mampu untuk hidup mewah atau sederhana mewah. 

      Di pihak NGO tempatan atau parti politik pembangkang menyatakan tidak salah mereka dibiayai agensi asing, kerana kerajaan mereka tidak memberikan wang untuk aktiviti parti pembangkang.  Lagipun, perjuangan mereka untuk membentuk masyarakat madani atau memperjuangkan demokrasi tulen.  Mereka berhujah, apa salahnya mengambil wang daripada pihak asing, kerana sekurang-kurangnya ia menggerakkan ekonomi negara.   Hatta, untuk menghalalkan wang dan tindakan menjadi `tali barut’ asing ini, mereka  berhujah, jika dibiayai US dan berkawan rapat dengan US tentu baik sekali, sekurang-kurang boleh menerangkan versi Islam kepada mereka.

      Mungkin sukar untuk menjawab hujah mereka,  dan ini menjadi sebab kepada kebanyakan negara untuk menyelamatkan negara mereka tidak berhujah dengan kumpulan ini, tetapi mengambil tindakan undang-undang ala-ISA.  Inilah sebabnya kumpulan berkenaan mahu undang-undang ala-ISA dihapuskan.  Ini kerana sukar mengaitkan mereka di dalam perbicaraan terbuka.  Kebijaksanaan CIA menyebabkan tiada undang-undang yang boleh mengaitkan ejennya dalam mahkamah terbuka.  Tokoh-tokoh tajaan mereka juga dihiasi baju antarabangsa, seperti membawa tokoh berkenaan menjadi profesor pelawat di universiti terkenal atau pejuang hak asasi tersohor.

     Tahun 2003,  kerajaan Cuba telah menahan 75 penentang politiknya.  Secara tiba-tiba media dan seluruh dunia mengutuk keras tindakan Cuba.  Termasuk yang ditahan ialah tokoh yang terkenal di peringkat antarabangsa.

       Menariknya, dalam sesetengah literatur cendekiawan muslim dinyatakan dalam hukum Islam, hukuman kepada tali barut  ialah bunuh mandatori.  Akan tetapi, parti politik pembangkang yang berlabel Islam menyembunyikan hukuman kepada penderhaka negara.  Langkah ini  seperti Yahudi pernah menyembunyikan undang-undang Islam seperti sebat kepada penzina, sebaliknya mereka menyatakan hukuman tuhan hanya untuk memalukan penzina lalu mereka mengubah hukum itu dengan menyatakan cukup dengan hanya menconteng arang di muka penzina berkenaan.          

Published in: on June 1, 2007 at 4:20 pm  Comments (10)  

MENGHADAP KEBENARAN

PLATO dalam bukunya Republic menceritakan satu kisah.  Beberapa orang dipenjarakan dalam sebuah gua sejak kecil.  Seumur hidup dalam gua itu. Kepalanya diikat. Menyebabkan matanya hanya menumpu kepada dinding gua.  Dibelakang mereka api merah menyala, tanpa padam. 

Mereka hanya mampu melihat bayang-bayangan orang dan haiwan di dinding belakang gua. Bayang ini disebabkan sebuah api di depan masuk ke gua ini dan orang atau haiwan di luar gua yang berjalan lalu lalang.  Tawanan berkenaan boleh melihat bayang orang atau haiwan dan gema suara-suara mereka di dalam gua.  Mereka mengenali orang atau haiwan berdasarkan gema terhasil.

Pada suatu hari, salah seorang tawanan dilepas dan dipaksa keluar. Ia diminta melihat sumber bayangan ini semua.  Sebaik sahaja memalingkan mukanya ke belakang, ia melihat api.  Matanya tertutup sekejab. Silau.  Katanya, lebih baik ia melihat bayang daripada melihat api.  Lama-kelamaan ia semakin biasa melihat api.  Matanya tak tersilau lagi.  Sedikit demi sedikit ia mula melihat orang dan haiwan yang melintas.  Cantik dan indah.

Tawanan ambil keputusan untuk melihat secara lebih dekat.  Tawanan melangkah keluar gua.

Tawanan hampir buta apabila melihat satu lagi cahaya, cahaya matahari.  Sekali lagi, matanya hampir buta.  Sakit.  Kemudiannya, baru ia melihat keindahan sungai, hijau rumput, pelbagai warna buah dan haiwan melata.

Ia kembali ke gua, untuk mengajak rakan-rakannya.  Sekali pandang kepada api berkenaan, semua tawanan lain memarahi tawanan yang mengajak mereka keluar.  Lebih baik melihat bayang, daripada melihat cahaya api, apa lagi melihat cahaya matahari, kata mereka.  Bukan mereka berterima kasih, malah mengugut untuk membunuhnya jika terus diajak untuk keluar.

Plato mengajak kita untuk berfikir betapa sukarnya untuk mengajak orang ramai kepada kebenaran yang disimbolkan dengan cahaya matahari.  Melihat separuh kebenaran yang disimbolkan dengan cahaya apipun, orang ramai tak sanggup.

Kebenaran dipalsukan oleh bayangan di depan mata. Mahukah kita keluar daripada gua, untuk menjengah kebenaran yang lebih tulen?

 

Published in: on June 1, 2007 at 11:43 am  Comments (1)  

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!

Published in: on May 30, 2007 at 3:15 pm  Comments (1)